Bahan Pelajaran


PERIBAHASA
Peribahasa ialah susunan perkataan yang rapi, teratur serta mempunyai pengertian yang tertentu. Peribahasa merangkumi beberapa jenis iaitu simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, bidalan, kata-kata hikmat .

JENIS-JENIS PERIBAHASA
1. Simpulan bahasa
2. Perumpamaa
3. Pepatah
4. Bidalan
5. Kata-kata hikmat

FAEDAH PERIBAHASA

1. Menghiasi karangan atau percakapan.
2. Menguatkan atau menjelaskan sesuatu maksud atau tujuan dalam penulisan mahupun percakapan.
3. Menjadi panduan atau pedoman hidup kerana isinya yang benar dan luas.
4. Mengetahui kebudayaan sesuatu bangsa.

SIMPULAN BAHASA

Simpulan bahasa ialah susunan dua perkataan dalam bahasa melayu yang amat tersusun dan bermakna. Simpulan bahasa mempunyai pengertian yang berlainan dengan pembentukan perkataan atau frasa itu sendiri. Makna simpulan bahasa itu berkait dengan sikap dan kelakuan manusia yang digambarkan dengan pelbagai situasi yang berkaitan dengan benda, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
Contoh : Ada angin, cepat tangan.

PERUMPAMAAN

Perumpamaan ialah susunan kata dalam sesuatu ayat yang memberi makna khas berlainan daripada apa yang diucapkan atau tertulis atau membandingkan sesuatu dengan benda lain 'seperti' 'bagai' laksana'
'umpama' seolah-olah' dan 'macam'. Ada juga perumpamaan yang tidak menggunakan kata-kata bandingan.
contoh: Bagai si rabun memimpin si buta.

PEPATAH

Pepatah ialah peribahasa yan mengandungi perkataan-perkataan yang ringkas dan mempunyai erti yang berisi pengajaran, kadang-kadang pepatah ada juga yang tidak berisi pengajaran.
contoh: Bagaimana gendang begitulah tarinya.

BIDALAN

Bidalan ialah peribahasa yang membuat bandingan dan ertinya mesti berisi pengajaran dan fikiran yang benar.
contoh: Genggam bara apa biar sampai jadi arang.

KATA-KATA HIKMAT

Kata-kata hikmat dipetik daripada kitab-kitab suci, kata-kata dan pendapat tokoh, negarawan, cendikiawan dan sasterawan yang bijak pandai. Kata-kata hikmat itu sangat penting untuk menjadikan pedoman untuk generasi akan datang.
contoh: Bahasa menunjukkan bangsa.

 SIMPULAN BAHASA
1. Simpulan bahasa adalah bentuk peribahasa yang paling mudah.
2. Biasanya simpulan bahasa terdiri daripada dua patah kata yang membawa maksud yang   tepat dan padat.
3. Senarai simpulan bahasa beserta dengan maksudnya adalah seperti yang berikut:


Simpulan Bahasa
Maksudnya
ada angin
berkelakuan luar biasa pada sesuatu ketika
ada hati
mempunyai keinginan yang melebihi kemampuan untuk melakukan atau memiliki sesuatu
air muka
rupa atau wajah seseorang
ajak-ajak ayam
tidak bersungguh-sungguh semasa mempelawa seseorang
ada bakat
mempunyai tokoh atau perwatakan
alas perut
makanan yang dimakan untuk sementara waktu sebelum memakan makanan yang mengenyangkan
anak angkat
anak orang lain yang dipelihara sebagai anak sendiri
anak bapa
anak yang disayangi oleh bapa
anak buah
orang yang di bawah jagaan seorang ketua atau anak saudara
anak emas
anak yang disayangi oleh ibu bapa atau ketuanya
angkat kaki
meninggalkan sesuatu tempat kerana sesuatu sebab
atas angin
negara-negara di sebelah barat
atas pagar
tidak menyebelahi mana-mana pihak
ayam tambatan
orang yang menjadi harapan dalam sesuatu pertandingan
bahasa pasar
bahasa Malaysia yang tidak betul tatabahasanya
banyak mulut
orang yang banyak bercakap
batu api
orang yang suka menghasut
batu loncatan
sesuatu yang dijadikan alat untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati
bau-bau bacang
tali persaudaraan yang jauh
bawah angin
negara-negara di sebelah timur
bekas tangan
hasil kerja tangan seseorang
beralih akal
berubah fikiran atau pendapat
beralih angin
pergi ke sesuatu tempat untuk berehat
berat hati
enggan; malas
berat mulut
pendiam atau tidak suka bercakap banyak
berat tulang
orang yang malas bekerja
berat sebelah
tidak berlaku adil
berbelah bagi
sukar untuk membuat keputusan
berhati batu
degil dan sukar menerima nasihat
berhutang budi
patut membalas kebaikan seseorang dengan kebaikan juga
bermuka dua
tidak jujur
bertikam lidah
bertengkar; berdebat
besar hati
bergembira atau berbangga akan sesuatu
besar kepala
degil; sukar menerima pandangan orang lain
buah hati
orang yang dikasihi atau dipuja
buah mulut
sesuatu yang menjadi perbualan orang ramai
bush tangan
hadiah yang dibawa ketika melawat seseorang
bulat hat!
bersungguh-sungguh ketika membuat sesuatu; sudah nekad
buruk siku
mengambil balik sesuatu yang telah diberikan kepada orang lain
buta hati
tidak dapat menerima pengajaran; zalim; kejam
cahaya mata
anak
cakar ayam
tulisan yang buruk
campur tangan
turut serta atau mencampuri urusan orang lain
cari jalan
berusaha atau berikhtiar melakukan sesuatu
epat tangan
suka mencuri
dalam tangan
sudah pasti akan diperoleh
darah daging
anak kandung
durian runtuh
keuntungan yang diperoleh dengan tidak disangka-sangka
gaji buta
mendapat gaji tanpa perlu bersusah payah atau bekerja bersungguh-sungguh
gelap mata
hilang pertimbangan kerana terpengaruh oleh wang atau harta
harga diri
maruah atau kehormatan seseorang
harga mati
harga tetap yang tidak dapat ditawar lagi
hati batu
degil atau keras hati
hidung tinggi
sombong atau tinggi diri
hilang akal
tidak tahu apa-apa yang perlu dibuat; hilang pertimbangan diri
ikat perut
menahan lapar kerana berjimat
iri hati
menyimpan perasaan dengki atau cemburu
isi hati
perasaan dalam hati
jalan buntu
tidak ada jalan penyelesaian
kacang hantu
orang yang jahat dan suka mengganggu orang lain
kaki ayam
tidak berkasut atau berselipar
kaki bangku
tidak berkebolehan bermain bola
kaki botol
suka minum minuman keras
kecil hati
berasa tersinggung atau merajuk
kepala angin
perangai yang tidak menentu
kepala batu
degil dan tidak mendengar nasihat
kera sumbang
orang yang tidak suka bergaul dengan orang lain
khabar angin
berita yang belum tentu benarnya
langkah kanan
bernasib baik
langkah seribu
cepat-cepat lari kerana ketakutan
lidah bercabang
kata-kata yang tidak dapat dipercayai
lipas kudung
cepat membuat kerja
lintah darat
mengambil keuntungan berlebihan atas pinjaman yang diberikan
makan angin
bersiar-siar untuk berehat
makan suap
menerima rasuah
malu-malu kucing
berpura-Aura malu di hadapan orang
mandi peluh
bekerja kuat
mati katak
mati dengan sia-sia
membabi buta
melakukan sesuatu tanpa berfikir
membawa diri
tahu menjaga diri
membuka jalan
memberi laluan kepada orang lain
membuka tembelang
menceritakan keburukan seseorang kepada orang lain
memeras otak
terlalu kuat berfikir atau belajar
menarik diri
tidak turut serta; meletak jawatan
mencari jalan
berusaha untuk melakukan sesuatu
mencuci mata
gembira memperhatikan sesuatu yang indah
mencuit hati
lucu; menggelikan hati
mengabui mata
cuba memperdaya; menipu
mengadu domba
memperlagakan seseorang untuk memecahbelahkan persahabatan dan sebagainya
mengambil angin
bersiar-siar untuk berehat
mengambil berat
memberi sepenuh perhatian
mengambil hati
dapat memikat atau mempengaruhi
mengasah bakat
latihan untuk mengembangkan bakat
muka tembok
tidak berasa malu
mulut murai
kuat bercakap atau berbuat bising
mulut tempayan
tidak dapat menyimpan rahsia
murah hati
suka bederma; tidak kedekut
naik angin
terlalu marah
nyawa-nyawa ikan
hampir-hampir mati
orang atasan
orang yang berpangkat tinggi
otak cair
pintar atau bijak
otak kering
kurang siuman
otak udang
bebal atau bodoh
paku belanda
barangan yang tetap harganya
panas hati
meradang atau marah
panjang tangan
suka mencuri
pasang telinga
mendengar dengan teliti
pekak badak
kurang jelas pendengarannya; tidak dapat mendengar bunyi yang kuat
pembasuh mulut
makanan atau minuman yang dihidangkan selepas makan nasi
perang mulut
pertengkaran
pilih kasih
memberi layanan yang lebih kepada orang yang disukai
pisau cukur
perempuan yang suka menghabiskan harta benda lelaki
puteri lilin
tidak tahan terkena panas matahari
putih hati
ikhlas; jujur
putih mata
mengalami kekecewaan
rabun ayam
penglihatan yang kurang jelas
rambang mata
sukar membuat pilihan
ringan tangan
suka membuat kerja: menolong orang
sampai hati
tergamak melakukan sesuatu kerja
serkap jarang
membuat tuduhan secara agak-agak atau tanpa usul periksa
tangan terbuka
menyambut sesuatu dengan senang hati
tangkai jering
orang yang kedekut
tawar hati
tidak mempunyai minat lagi
tebal muka
tidak tahu malu
telinga kuali
tahan hati menerima kemarahan
telinga lintah
tajam pendengaran
telinga nipis
cepat marah atau meradang
terang hati
mudah memahami sesuatu
tidur-tidur ayam
tidur yang tidak nyenyak
tin kosong
bercakap besar tanpa ilmu
titik peluh
hasil usaha yang bersungguh-sungguh



PEPATAH / BIDALAN / PERMPAMAAN
1. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat

2. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Maksud : mengalami susah senang bersama-sama.

3. bara yang digenggam biar sampai jadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.

4. bagai kaca terhempas ke batu
Maksud : Sangat sedih atau kecewa.

5. melentur buluh biarlah dari rebungnya
Maksud : Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.

6. duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
Maksud : dua orang atau pihak yang sama darjat dalam adat

7. seperti lembu dicucuk hidung
Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang

8. yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing
Maksud : Bersama-sama menghadapi atau mengerjakan sesuatu.

9. dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
Maksud : segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.

10. tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
Maksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.

11. bagai aur dengan tebing
Maksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan saling membantu.

12. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
Maksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.

13. kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai
Maksud : Kalau takut berhadapan dengan penderitaan , lebih baik jangan melakukan sesuatu yang susah


14. indah khabar daripada rupa
Maksud : Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan.

15. hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
Maksud : Pengagihan yang sama banyak.

16. bukit sama didaki, lurah sama dituruni
Maksud : Perhubungan yang sangat akrab, senang susah bersama.


17. kacang lupakan kulit
Maksud : Orang yang melupakan asalnya atau orang yang pernah menolongnya setelah mendapat kesenangan.

18. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Maksud : Menurut adat atau peraturan di tempat yang kita diami atau tinggal.

19. masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
Maksud : Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan

20. ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua
Maksud : kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibat

21. kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
Maksud : Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah

22. berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
Maksud : Bersusah payah terlebih dahulu untuk mendapatkan kesenangan pada kemudian hari.

23. yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang
Maksud : Sesuatu benda tidak akan datang tanpa usaha

24. sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit
Maksud : Sabar mengerjakan sesuatu lama-lama berhasil juga.

25. bak cendawan tumbuh selepas hujan
Maksud : Terlalu banyak pada sesuatu masa.

26. bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

27. yang kita kejar tak dapat, yang kita kendong pula berciciran
Maksud : Bernasib malang kerana setelah memperoleh sesuatu, tetapi yang sudah di tangan hilang pula.

28. biar mati anak, jangan mati adat
Maksud : orang yang kuat perpegang pada adat.

29.sediakan payung sebelum hujan
Maksud : Berjaga-jaga dulu sebelum mendapat sesuatu bencana.

30. yang lama dikelek, yang baharu didukung
Maksud : Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baharu.


31 untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan
Maksud : orang lelaki yang merisik bakal isterinya.

32. bagai ikan pulang ke lubuk
Maksud : a. Orang yang pulang ke tempat asal
. b. Kehidupan yang senang.



----------------------------------------------------------------------------------------------


BAHAGIAN C/ KERTAS 2

PANDUAN MEMBINA ULASAN NILAI MURNI

1.       Membaca Petikan

2.       Baca arahan dan petikan dengan teliti untuk mendapatkan idea keseluruhan

3.       Garis kunci soalan yang terdapat dalam arahan.Antara kunci soalan termasuklah nilai murni,  pengajaran, amalan baik, kebaikan-kebaikan dan faedah-faedah.

4.        Kemudian kenal pasti isi-isi atau idea-idea yang terdapat dalam petikan tersebut.

5.       Cari pernyataan isi yang terdapat dalam petikan, biasanya pernyataan isi terdiri daripada perkataan, rangkai   kata atau satu ayat yang boleh membawa maksud.

6.       Tukarkan pernyataan isi kepada nilai atau pengajaran berdasarkan kehendak soalan

7.       Gunakan penanda wacana dan kata penegas yang sesuai untuk menghubungkaitkan ayat

CONTOH :
Tulis lima pengajaran yang dapat kamu peroleh daripada petikan di bawah ini. panjangnya jawapan kamu hendaklah tidak kurang daripada 50 patah perkataan. Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan



       Imran berjanji kepada dirinya akan belajar bersungguh-sungguh. Kegagalannya untuk masuk ke kelas Tahun Enam Bestari iaitu kelas yang pertama tidak mematahkan semangatnya.Dia yakin bahawa dia akan berjaya dengan cemerlang dalam UPSR hujung tahun nanti.

       Oleh itu, Imran bertekad untuk membaiki kelemahan dan menebus kesilapan yang telah dilakukannya.Sejak awal tahun lagi, Imran sudah membuat persiapan.Dia mengulangkaji pelajaran tahun empat dan tahun lima. Dia turut membuat latihan serta mencuba menjawab soalan-soalan peperiksaan UPSR.Dia tidak malu untuk bertanya kepada guru jika dia kurang memahami sesuatu pelajaran atau menghadapi masalah.

         Selain itu, Imran dan rakan-rakannya menubuhkan kumpulan belajar.Mereka sering mengadakan perbincangan tentang sesuatu pelajaran.Mereka turut menjawab soalan-soalan peperiksaan UPSR pada tahun sebelumnya.Melalui perbincangan ini Imran dan rakan-rakanya dapat memahami setiap pelajaan diajarkan dengan mendalam lagi.Disamping itu, mereka yang mahir tentang sesuatu pelajaran  dapat membantu rakan yang lemah. Pada masa lapang,Imran akan berkunjung ke perpustakaan untuk mengulangkaji pelajaran atau membuat rujukan.






5 pengajaran yang diperoleh daripada petikan
1.       Berazam
2.       Berkeyakinan
3.       Tekun
4.       Menghargaimasa
5.       Bekerjasama

Contoh Jawapan
    Kita hendaklah berazam untuk belajar bersungguh-sungguh.Malah keazaman yang disertakan dengan keyakinan akan dapat memantapkan uasaha kita lagi. Kita tidak haruslah berputus asa apabila menghadapi kegagalan sebaliknya, kita haruslah berusaha dengan tekun untuk berjaya. Selain itu, kita haruslah menghargai masa dengan melakukan perkara-perkara yang berfaedah seperti berkunjung ke perpustakaan.Kita sewajarnya mengamalkan semangat bekerjasama seperti belajar secara kumpulan akan memupuk sikap kerjsama antara satu sama lain.


BAHAGIAN A/KERTAS 2







Panduan Menjawab Bahagian A
1. Pada bahagian A, anda diminta membina lima ayat berdasarkan gambar.

2. Biasanya terdapat tiga jenis arahan iaitu :

a) Bina lima ayat lengkap berdasarkangambar.

b) Bina lima ayat berdasarkan aktiviti-aktiviti yang terdapat di dalam gambar.

c) Bina lima ayat berdasarkan situasi di dalam gambar.

3. Anda perlu melihat dengan teliti gambar yang ditunjukkan. Cuba kesan apa
yang sedang dilakukan oleh ‘orang’ yang ada di dalam gambar.

4. Catatkan di tepi gambar lima aktiviti tersebut. Contoh :memancing, makan,berbual,berdiri,mengayuh sampan.

5. Cara binaan ayat berdasarkan gambar adalah :

Watak+ se dan g aktiviti / perbuatan +di tempat+ titik

6. Watak terdiri daripada :

a) Nama orang

b) (Seorang atau jumlah) budak (lelaki atau perempuan)

c) Beberapa orang (lelaki atau perempuan)

7. Contoh binaan ayat :

Dua orang budak lelaki sedang memancing ikan di sungai.

ATAU

watak perbuatan tempat Ali dan Abu sedang memancingikan di sungai.

8. Kata kerja, aktiviti atau perbuatan yang sama tidak boleh diulang pada ayat yang lain.

Contoh :

1. Ali sedang memancing ikan di sungai.

Aktiviti yang sama

2. Abu sedang memancing ikan di sungai.

9. Pastikan tanda baca betul seperti huruf besar pada permulaan ayat dan nama orang serta noktah atau titik di akhir ayat.

10. Jangan gabungkan dua ayat menjadi satu.

Contoh :

Ali sedang memancing ikan di sungai manakala Abu sedang melihat Ali sedang memancing.


BAHAGIAN B / MENULIS KARANGAN

Contoh Karangan.

Faedah Menyertai Lawatan Sambil Belajar.

        Lawatan sambil belajar sering dianjurkan oleh persatuan-persatuan kokurikulum di sekolah. 

Lawatan sambil belajar merujuk aktiviti luar kelas yang melibatkan pelajar dan guru melawat sesuatu tempat, kawasan, bangunan atau apa-apa yang memberi ilmu pengetahuan.Aktiviti ini menjadi satu aktiviti yang paling dinanti-nantikan oleh pelajar kerana mereka berpeluang untuk meneroka kawasan baru. Kepentingan aktiviti in turut mendapat liputan meluas dalam media massa terutama akhbar dan televisyen negara ini. Sesungghnya, ada pelbagai impak positif yang timbul menerusi aktiviti luar darjah ini terutama kepada pelajar.


        Impak positif yang pertama ialah hubungan pelajar dengan guru menjadi lebih intim.Keakraban ini terjalin kerana guru dan pelajar perlu berinteraksi apabila merancang aktiviti seperti ini untuk satu tempoh yang lama. Pada masa yang sama hubungan ini menyebabkan guru lebih memahami pelajarnya dan boleh membantu mereka untuk menjadi seorang manusia yang lebh baik menerusi pemahaman sebegini. Jelaslah, aktiviti lawatan sambil belajar ini mempunyai impak seperti menyelam sambil minum air kepada semua pihak terutama pelajar.


         Manfaat kedua yang terjelma menerusi aktiviti ini pula ialah pelajar mempelajari konsep mengurus sesuatu aktiviti dengan lebih efektif. Mereka akan faham kepentingan untuk membuat pemeriksaan demi pemeriksaan tentang sesuatu seperti jadual bas bertolak, jumlah pelajar yang menyertai dan aspek pemakanan. Semua pengalaman ini menyebabkan peajar itu akan berasa lebih yakin dan mampu melihat lebih awal sebarang kemungkinan yang oleh berlaku kerana sudah memiliki pengalaman lalu. Maka, pelajar akan memahami keperluan untuk mengurus dan menyelesaikan sesuatu masalah sebelum masalah itu timbul menerusi pengalaman lawatan sambil belajar ini.


          Bukan sahaja pelajar berupaya mempelajari teknk-teknik mengurus tetapi pelajar memperoleh satu pengalaman unik yang tidak boleh diperoleh di mana-mana. Pengalaman ini dikatakan unik kerana bukan semua orang boleh memperoleh peluang yang sama untuk melawat ke sesuatu tempat itu. Pelajar boleh menggunakan pengalaman ini sebagai satu peluang untuk menjadikan hidup mereka lebih baik.Sesungguhnya, pengalaman sebegini hanya boleh terhasil menerusi lawatan sambil belajar.


         Malah, lawatan sambil belajar memudahkan proses pembelajaran kerana suasananya yang berbeza daripada suasana di kelas biasa. Kadangkala pelajar lebih mudah menerima sesuatu ilmu itu jika suasananya berbeza sedikit daripada kebiasaannya.Lawatan sambil belajar ini boleh mengatasi masalah kebosanan pelajar terutama terhadap mata pelajaran tertentu yang memerlukkan penumpuan dan perhatian yang tinggi.Jadi, proses belajar menjadi lebih efektif menerusi lawatan sambil belajar ini.



          Kesimpulannya, semua faedah yang dinyatakan di atas tadi berupaya membentuk satu rumpun pelajar yang berwibawa di negara ini. Kemampuan untuk mengalami sesuatu pengalaman itu menjadi satu perkara yang penting dalam kehidupan pelajar kerana itulah proses kehidupan yang sebenarya. Kalau semua pelajar kita menyertai aktiviti yang positif ini, sudah pasti negara kita tidak akan mengalami pelbagai gejala sosial yang sering kita dengar di dada-dada akhbar ini. Peribahasa “masa itu emas” boleh digunakan oleh pelajar kita untuk merenung kehidupan mereka dengan sebaik mungkin.




CONTOH KARANGAN AUTOBIOGRAFI

Karangan autobiografi adalah sejenis karangan yang menceritakan riwayat hidup sesuatu objek, haiwan atau tumbuhan. Oleh itu semasa menulis karangan jenis ini , anda perlu membayangkan diri anda sebagai objek , haiwan atau tumbuhan itu.

Pada umumnya, beberapa perkara di bawah ini perlu diberi perhatian sewaktu anda merangka dan menulis karangan tersebut :

§ Perlu menulis di mana dibuat,bahan-bahan yang digunakan,keadaan diri apabila
siap dipasarkan untuk jenis objek

§ Untuk haiwan atau tumbuhan perlu diceritakan asal-usul , perkembangan hidup,
keistemewaan, dan pegorbanan atau sumbangan kepada kehidupan umum,

§ Gambarkan berasa bangga dapat berkhidmat kepada manusia.

§Boleh menyelitkan perbualan antara sesama rakan.

§Paparkan nilai-nilai murni dan cerita mesti logik.

Contoh Soalan.


Tuliskan sebuah karangan bertajuk “Aku Sebuah Robot”
Panjang karangan kamu mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan dan tidak melebihi 120 patah perkataan.

Langkah 1

Memahami kehendak soalan yang meminta anda menceritakan riwayat hidup Sebuah Robot. Kamu boleh memberi nama robot yang kamu sukai. Selai itu kamu juga hendaklah menentukan fungsi robot yang kamu ceritakan itu.

Langkah 2

Menyediakan isi-isi karangan berdasarkan konsep peta minda.Kamu perlu membiasakan diri mencatat isi-isi penting menggunakan peta minda supaya karangan yang ditulis mempunyai isi dan jalan cerita yang mantap.

Langkah 3

Menulis karangan lengkap berdasarkan isi-isi penting dalam peta minda.Anda perlu mengarang mengikut urutan cerita dan binalah ayat mengikut tatabahasa yang betul.

Contoh karangan

Aku Sebuah Buku

Aku sebuah robot. Namaku ‘Cekap Setia’. Aku dicipta oleh sekumpulan jurutera tempatan.Tujuan aku dicipta ialah untuk membantu golongan orang kurang upaya.

          Aku dicipta dengan pelbagai keistimewaan atau fungsi, sebagaimana yang dikehendaki oleh penggunnya.Aku dicipta untuk membantu tuanku yang cacat penglihatan. Aku mampu membantu menyelesaikan masalah tuan aku.

        Tuan aku telah membelanjakan hampir RM 100 000,00 untuk menciptakan aku. Dengan kos yang mahal itu membolehkan aku mempunyai pelbagai fungsi, terutama dalam membuat kerja-kerja di rumah seperti memasak dan mengemas rumah.

         Pada suatu hari tuan aku telah membawa aku membeli belah. Kulihat semua mata tertumpu ke arah aku dan tuan aku. Apa tidaknya, apabila tuan aku menyuruh aku memilih barang-barang yang hendak dibeli, dengan pantas aku berjaya mendapatkannya.

        Peristiwa yang mencabar hidupku ialah apabila aku berjaya menggagalkan satu rompakan di sebuah bank. Ketika itu tuan aku sedang berurusan di sebuah bank tiba-tiba sekumpulan perompak bersenjata api menyerbu bank tersebut. Apa lagi aku pun merampas senjata itu dengan kuasa magnetku yang kuat.

        Kini aku dihantar semula kepada pereka ciptanya untuk ditingkatkan fungsi dan keupayaan aku. Aku yakin selepas ini aku dapat membantu tuan aku dengan lebih baik lagi.

Langkah 4

Kamu hendaklah membaca dan menyemak semula karangan itu. Dalam proses penyemakan perkara-perkara berikut perlu diberi perhatian agar anda tidak kehilangan markah ialah kesalahan penggunaan kata, struktur ayat, penggunaan imbuhan, tanda baca, dan ejaan.

Soalan Latihan Minggu Ini

1. Tulis sebuah karangan bertajuk “Aku Sebuah Kamera”.

2. Tuliskan sebuah karangan bertajuk “ Aku sekor ikan”.

3. Tuliskan sebuah karangan bertajuk “ Aku Seekor Lebah “.

Contoh Jawapan Karangan Soalan 2.

        Aku ikan Kelisa.Sisikku berwarna kekuning-kuningan seperti emas, Mataku besar dan bulat.Aku seekor ikan yang comel.Aku tinggal di dalam balang yang cantik.

       Aku berasal dari sebuah anak sungai di Taman Negara. Aku telah ditangkap oleh seorang pemburu kelisa lalu menjualnya kepada tuan aku sekarang dengan harga RM 1000.00. Ketika itu usiaku baru sembilan bulan.

          Aku sangat kecewa ketika itu.Aku sangat benci dengan manusia yang hanya mengejar keuntungan semata-mata. Aku terpaksa berpisah dengan rakan-rakanku yang bebas bermain di celah-celah batu di dalam air yang dingin di tengah rimba.Tetapi kini aku sangat sayang dengan tuan aku.

         Tuan aku, telah menjaga aku dengan baik.Air di dalam balang tempat tinggalku sentiasa bersih.Aku juga sentiasa kenyang kerana sentisa mendapat makanan yang bermutu tinggi. Tuan aku suka melihat aku berenang-renang ke sana ke mari.

          Kecantikan sisikku yang berkilau-kilauan membuatkan rakan-rakan tuan aku terpegun dan sentiasa memuji-muji kecantikanku. Tuan aku bertambah sayang kepada aku, walaupun dia telah ditawarkan RM 20 000.00 untuk membeli aku.

         Kehidupanku gembira sekali.Tuan akau terus menjaga aku dengan penuh kasih sayang.Aku sangat sayang kepadanya.



Contoh Nota Tatabahasaa

TATABAHASA

MORFOLOGI  :PENGGOLONGAN KATA

  Penggolongan kata ialah proses menjeniskan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk dan fungsi dengan anggota lain atau golongan yang sama.






       a)      Kata Nama Am
  Kata nama yang merujuk kepada benda-benda atau perkara yang umum sifatnya.
       b)      Kata Nama Khas
-          Membawa makna rujukan khusus pada sesuatu nama orang, haiwan, benda, perbadanan, undang-undang, bangsa, pangkat , bahasa dan sebagainya.

       c)      Kata Ganti Nama
-          Kata yang menggantikan nama dan berfungsi seperti nama.


11.  Kata Kerja
  Kata kerja berperanan untuk menunjukan sesuatu perbuatan atau sesuatu keadaan. Kata kerja dapat dibahagikan seperti berikut:
  1. Kata Kerja Transitif :
      Kata Kerja Transitif Aktif
      Kata Kerja Transitif Pasif
  1. Kata Kerja Tak Transitif :
      Kata Kerja Tak Transitif Berpelengkap
      Kata Kerja Tak Transitif Tak Berpelengkap
           a.       Kata Kerja Transitif
  Kata kerja transitif ialah kata kerja yang mesti diikuti oleh objek untuk melengkapkan maksud. Objek yang mengikuti kata kerja transitif ialah frasa nama.
Contoh :
Ø  Suhaina menjahit baju kurung untuk adiknya.
Ø  Emak memotong buah tembikai yang baru dibelinya.
           b.      Kata Kerja Tak Transitif
  Kata kerja tak transitif adalah kata kerja yang tidak memerlukan objek atau pelengkap selepasnya. Kata kerja tak transitif terbahagi kepada dua :
Ø  Anisah mencuci pakaian di tepi sungai.
Ø  Mereka makan di sawah.

111. Kata Sifat/Adjektif
  Kata sifat ialah perkataan yang menjadi unsur inti dalam binaan frasa adjektif. Ia boleh dikenal pasti dan dibezakan dari kata nama atau kata kerja dengan cirinya yang boleh didahului atau diikuti oleh kata penguat. Kata sifat menceritakan sifat benda (kata nama) dan sifat perbuatan (kata kerja).

Kata Sifat/ Adjektif  dibahagikan kepada sembilan berdasarkan kriteria makna.
  Kata Sifat Keadaan-memberi makna keadaan kata nama yang diterangkan.
      Contoh : orang jahat, budak pintar 
  Kata Sifat Warna-membawa makna warna untuk menerangkan kata nama.
            Contoh : langit biru, bibir merah. 
  Kata Sifat Ukuran-menyatakan ukuran kata nama.
            Contoh : perahu panjang, pokok renek
  Kata Sifat Bentuk-menerangkan mengenai bentuk kata nama.
            Contoh : jalan bengkok, mata bulat
  Kata Sifat Jarak-menerangkan kata nama dari segi ruang.
            Contoh : jalan pintas, kawan jauh.
  Kata Sifat Waktu-memberi penjelasan konsep masa sebagai unsur keterangan.
            Contoh : makanan segera, rumah baru 
  Kata Sifat Cara -membawa makna keadaan kelakuan atau ragam untuk menerangkan kata nama.
            Contoh : air deras, hujan lebat
  Kata Sifat Perasaan-memberi pengertian kepada konsep perasaan yang terkandung dalam sesuatu  kata nama. Contoh : suka akan, penuh ragu
  Kata Sifat Pancaindera-terdiri daripada yang memberi makna rasa, pandang, dengar, bau dan sentuh

1V.   Kata Tugas
  Kata tugas mempunyai tugas yang mustahak di dalam ayat. Kata tugas tidak mempunyai makna tetapi ia digunakan dalam ayat dan frasa untuk menjalankan sesuatu tugas tatabahasa. Fungsi kata tugas ialah menjadi penghubung, penentu, penguat, pedepan, pembantu, penegas, penafi, pembenar, pemeri, penanya dan penyeru.
  Ada 16 jenis  kata tugas yang boleh dikelompokkan berdasarkan kriteria kedudukan dan fungsinya dalam binaan ayat, iaitu :


1.       Kata Hubung  ( penyambung ayat – dan, sambil, atau )                   

2.      Kata Penegas  (memberi penekanan pada bahagian tertentu ayat – kah, lah )

3.      Kata Tanya  ( menanya / menyoal sesuatu – Bila, Bagaimana, Mengapa )

4.      Kata Nafi ( unsur nafi frasa predikat – bukan, tidak, jangan )

5.       Kata Seru ( menggambarkan perasaan seseorang – amboi, aduh, ah )

6.      Kata Pemeri (perangkai antara subjek dengan frasa utama predikat – ialah,adalah )

7.       Kata Perintah (menimbulkan sesuatu tindak balas terhadap perintah, arahan, larangan, silaan atau permintaan – Jangan, Tolong, Jemput )

8.       Kata Sendi Nama ( menyambungkan frasa nama dengan frasa dalam ayat )

9.      Kata Pembenar ( mengesahkan sesuatu pertanyaan  – ya, benar )
10.   Kata Arah ( sejumlah perkataan yang hadir sebelum frasa nama )
11.   Kata Pangkal Ayat ( perkataan yang hadir di bahagian hadapan ayat )
12.   Kata Bilangan ( perkataan yang menerangkan bilangan / jumlah orang, benda atau perkara )
13.   Kata Bantu ( jenis perkataan yang bertugas membantu frasa kerja, frasa adjektif, frasa sendi nama )
14.  Kata Penekan (kata yang hadir dan melekat selepas sesuatu perkataan-nya )
15.   Kata Penguat ( perkataan yang mengikat kata adjektif – terlalu )
16.   Kata Pembenda ( bentuk kata yang menjadikan sesuatu perkataan yang bukan daripada kata nama sebagai kata nama – lajunya, sedapnya )




CONTOH LAGU UNTUK PENGAJARAN BAHASA


LLagu ini sangat sesuai dijadikan set induksi untuk topik Keluarga. Selain dari itu, ianya juga boleh dijadikan sebagai bahan teks dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Murid boleh menggarisi isi-isi penting atau makluamt yang terdapat dalam senikata lagi.

SATU, DUA, TIGA
Satu... kasih yang abadi
Tiada tandingi dia yang satu
Dua... sayang berpanjangan
Membawa ke syurga kasihnya ibu
Tiga... lapar dan dahaga
Rela berpayahan setianya ayah
Empat... mudah kau ketemu
Berhati selalu beza antara
Kasih dan kekasih


Ibu kuingat dahulu 
Menyisir rambut ku kemas selalu
Ayah menghantar ke sekolah
Bergunalah ilmu bila dewasa
Sayang dengar lagu ini
Untuk kau sandarkan buat pedoman
Jangan manis terus ditelan
Pahit terus dibuang... itu bidalan
Harus kau renungkan
Andai kau peroleh bahagia
Ingat itu bukan
Untuk selamanya
Andai kau dalam sengsara
Ingat itu bukan
Untuk selamanya
Hidup ini sementara (ulang 2x)



*Lagu ini sangat sesuai sekali apabila kita menyampaikan bahan pengajaran yang bertemakan keluarga.Murid akan merasa sangat seronok dan teruja terutama ssekali apabila kita sebagai guru dapat bersama-sama menyanyikan lagu itu bersama murid.Ianya sesuai dilakukan sebagai set induksi.



Satu, satu..
Saya Sayang Ibu.
Dua, dua ….
Saya Sayang Ayah.
Tiga-tiga, sayang adik kakak.
Satu dua tiga, sayang semuanya
Ulang 2 X

*Lagu ini selalu dimainkan di alam iklan yang disiarkan di kaca televisyen. Ianya juga sering dinyanikan semasa murid menjalankan aktiviti semasa perkhemahan. Selain dari digunakan untuk set induksi, ianya juga sesuai untuk langkah penutup


5 comments:

  1. Halaman yang penuh dengan informasi.Tahniah cikgu....

    ReplyDelete
  2. Penerangan yang sangat detail. Well done Cikgu...

    ReplyDelete
  3. lagunya pasti sedap. kalaulah disertakan dengan link lagu ini...:)

    ReplyDelete

Apa pendapat anda tentang blog ini?

Total Pageviews

Mutiara Kata

SEKADAR BUAT RENUNGAN

"Kebijaksanaan menjanjikan kejayaan dan kebahagiaan tetapi jika disalahgunakan akan mewujudkan penderitaan."

"Kekuatan tidak datang dari kemampuan fizikal,tetapi ianya datang dari semangat yang tidak pernah mengalah."

"Setiap orang dapat mencapai kejayaan dalam hal apa saja, asalkan ia sangat menyukai pekerjaan yang dilakukan."

Kecemerlangan adalah hasil daripada sikap yang ingin sentiasa melakukan yang terbaik."

"Mengetahui sesuatu dan memahami segala sesuatu adalah lebih baik daripada mengetahui segala sesuatu, tetapi tidak memahami sesuatu."

"Sabar adalah jalan keluar bagi orang yang tidak bisa menemukan jalan keluar."

"Setiap yang kita lakukan biarlah jujur kerana kejujuran itu telalu penting dalam sebuah kehidupan.Tanpa kejujuran hidup sentiasa menjadi mainan orang."

Hidup memerlukan pengorbanan.pengorbanan memerlukan perjuangan. perjuangan memerlukan ketabahan. ketabahan memerlukan keyakinan. keyakinan pula menentukan kejayaan. kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan."

"Esok pasti ada tetapi esok belum pasti untuk kita.Beringat-ingatlah untuk menghadapi esok yang pastikan mendatang."